Nama : Dr. Sh Marzety Adibah bt Al Sayed Mohamad
Umur : 46 tahun
Tarikh Lahir : 2 Oktober 1978
Asal : Terengganu
Status Perkahwinan : Berkahwin
Kerjaya :
Facebook : Zety-Roses-ZR
Instagram : drzetyroses
Tiktok : zetyroseszr
Website : www.zetyroses.com
Dr. Sh Marzety Adibah Al Sayed Mohamad, yang lebih mesra dikenali sebagai Dr. Zety Roses, dilahirkan di Kg. Padang Air Deras, Bukit Payong, Terengganu. Sepanjang hidupnya, beliau telah membuktikan bahawa dengan dedikasi, pengorbanan, kegigihan, semangat untuk belajar dan sesuatu impian boleh dicapai.
Dari awal lagi, Dr. Zety menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang sosial dan keusahawanan. Setelah menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari KUSZA pada tahun 1999, beliau meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda dan memperoleh ijazah dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling di UPM, Terengganu pada tahun 2002. Dr Zety kemudian menyambung dan memperoleh ijazah sarjana dalam Sains Sosial pada tahun 2006 dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Tidak berhenti di situ, Dr. Zety melanjutkan perjuangan akademiknya dengan memperoleh PhD dalam bidang Kaunseling dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 2011 dan menyambung pengkhususan dalam Expressive Art Theraphy di Philips Island, Melbourne Australia pada 2016
Dr. Zety melengkapkan dirinya dengan pelbagai kelayakan profesional yang memperkukuhkan lagi kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang kaunseling dan psikologi. Beliau memperoleh Certificate in Expressive Therapies With Children And Adolescent dari Expressive Therapies Institute of Australia pada tahun 2014, menjadi Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada tahun yang sama. Beliau juga memiliki kelayakan dalam Creative Arts Therapy dari JM Counseling and Therapy Unit pada tahun 2008 dan Certificate in Max Recall Memory Training dari Memory Learning Dynamics Sdn Bhd pada tahun 2006.
Bertitik tolak dengan kerjaya sebagai seorang guru kaunselor di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal, kemudian meneruskan kerjaya sebagai Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu bermula dari tahun 2011 hingga 2018. Dr Zety menjawat beberapa jawatan penting di dalam Universiti pada ketika itu antaranya Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Komuniti), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, dan Pengerusi Program, Penyelidikan Komuniti Pesisiran, Pusat Pembangunan Sosioekonomi, Institut Penyelidikan Kenyir, Universiti Malaysia Terengganu. Antara pencapaian terbaik Dr Zety adalah membangunkan Modul Cendekiawan Islam yang digunakan untuk melahirkan saintis islam di kalangan pelajar sekolah di Negeri Terengganu.
Dari dunia akademik, Dr Zety meneroka bidang keusahawanan dalam sektor Pertanian. Minat yang mendalam terhadap tanaman terutamanya sekali bunga ros, Dr Zety membangunkan beberapa buah syarikat antaranya Zety Roses Legacy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menguruskan Taman Ros Terbesar di Malaysia, iaity Zety Roses Garden & Farm. Syarikat ini juga bertanggungjawab menghasilkan produk-produk penjagaan tanaman seperti baja, tanah, semburan khas tanaman serta produk makanan yang berasaskan ros. Dr Zety juga mengusahakan sebuah cafe iaitu Zety Roses Garden Cafe di dalam Taman Rosnya, berkonsepkan kafe dalam Taman Ala Alam Bunian. Keistimewaan Kafe ini adalah dari segi konsepnya di dalam Taman Ros dan menu-menu istimewa yang berasaskan ros.
Selain itu, Dr Zety juga mengasaskan Zety Roses Natural Life, sebuah syarikat yang menghasilkan produk kecantikan berasaskan ros, Zety Roses Umrah & Tour yang merupakan sebuah syarikat pelancongan menawarkan pakej umrah serta pelancongan di luar negara dan Zety Roses Golden Diamond, sebuah syarikat yang khusus dalam penjualan barang-barang kemas yg diperbuat daripada emas dan berlian.
Kemahiran dan pengetahuan dalam kaunseling ini telah menjadi tunjang utama kejayaan Dr. Zety dalam kerjaya dan aktiviti tanggungjawab sosialnya. Dalam dunia keusahawanan, kemahiran kaunseling membantu beliau memahami dan menguruskan pekerja dengan lebih baik, memotivasikan pasukan, serta menangani cabaran dan konflik dengan bijaksana. Sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Zety Roses Legacy Sdn Bhd, beliau menggunakan kemahiran ini untuk membimbing syarikatnya ke arah kejayaan yang berterusan.
Selain itu, kemahiran kaunseling Dr. Zety juga menjadi aset penting dalam aktiviti tanggungjawab sosial yang beliau jalankan. Melalui pelbagai program pemindahan ilmu seperti Jejak Remaja Hebat, Personaliti Diri Unggul, dan Rebuilders: I’m Possible, beliau telah membantu ramai individu, terutamanya golongan muda dan ibu bapa, dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran interpersonal, dan mengatasi pelbagai cabaran kehidupan. Program-program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi juga memperkukuhkan lagi peranan beliau sebagai seorang kaunselor yang berdedikasi dan berwibawa.
Dr. Zety merupakan pemilik Zety Roses Garden & Farm, Taman ros terbesar di Malaysia (diiktiraf oleh Jabatan Pertanian) yang menjadi destinasi pelancongan popular peminat-peminat Ros seluruh Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kegigihan dan dedikasi beliau dalam bidang pertanian, tetapi juga menjadi simbol kepada wanita-wanita di luar sana bahawa mereka mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan dengan usaha yang gigih.
Namun, di sebalik kejayaan yang dicapai, Dr. Zety pernah diuji dengan cabaran kesihatan yang sangat besar. Beliau pernah didiagnosis dengan penyakit saraf dan tulang belakang yang menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda selama setahun. Walaubagaimanapun, semangat dan ketabahan Dr. Zety tidak pernah pudar. Beliau berikhtiar untuk sembuh melalui terapi dan rawatan khususnya terapi bersama bunga ros. Berkat usaha dan doa, beliau akhirnya mampu bangun kembali dan meneruskan perjuangan dalam kerjaya dan kehidupan sehariannya sehingga mendapat beberapa anugerah dalam perniagaan
Dr. Zety menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan nasional. Pada tahun 2023, beliau dinobatkan sebagai No 1 Asean Entrepreneur Women Winner oleh Indonesian Award Magazine. Beliau juga menerima anugerah Brand Prestigious Women CEO di World Muslimpreneur Award Malaysia 2022 dan Rising Star CEO dalam 100 Top CEO 2022. Pada tahun 2022, beliau juga merupakan calon Tokoh Usahawan Terengganu. Pencapaian ini menunjukkan bahawa usaha dan dedikasi beliau diiktiraf di peringkat tertinggi. Dr Zety juga diletakkan sebaris dengan tokoh-tokoh usahawan dan mereka yang berjaya di Malaysia dimana nama dan profil Dr Zety telah pun dimasukkan ke dalam ensiklopedia biografi Britishpedia’s Successful People In Malaysia. Buku ini mengumpulkan tokoh-tokoh usahawan, politik, ceo syarikat di Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Tidak hanya cemerlang dalam bidang keusahawanan, Dr. Zety juga aktif dalam pelbagai persatuan dan kerja-kerja sosial. Beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak 2017 dan Ahli Jawatankuasa dari 2014 hingga 2016. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Mahkamah di Mahkamah Seksyen & Majistret dari 2013 hingga 2016 dan sebagai Kaunselor Pelawat di Peak C Consultant dari 2009 hingga 2015. Komitmen beliau terhadap masyarakat dapat dilihat melalui pelbagai program tanggungjawab sosial yang beliau anjurkan.
Dr. Zety telah melibatkan diri dalam pelbagai program tanggungjawab sosial seperti Pemindahan Ilmu Jejak Remaja Hebat Siri 1-4 di SK Tunas Bakti Marang pada Ogos hingga September 2023, Program Pemindahan Ilmu Personaliti Diri Unggul Siri 1-4 di SK Tunas Bakti Marang pada Julai 2023, Pemindahan Ilmu “Rebuilders: I’m Possible” di Pusat Komuniti Teluk Ketapang pada Jun 2023, dan Pemindahan Ilmu Program Ibubapa Hebat Keluarga Berkat di Pusat Komuniti Teluk Ketapang pada Februari 2023. Usaha beliau dalam membantu komuniti setempat adalah cerminan kepedulian dan tanggungjawab sosial yang beliau pegang.
Di sebalik segala kejayaan dan komitmen ini, Dr. Zety juga seorang isteri dan ibu yang penyayang kepada tujuh orang cahaya mata. Gabungan peranan sebagai usahawan berjaya dan ibu yang dedikasi menjadikan beliau inspirasi kepada ramai wanita di luar sana. Beliau membuktikan bahawa seorang wanita boleh mengimbangi kerjaya yang berjaya dengan tanggungjawab keluarga.
Kisah Dr. Zety Roses adalah cerita tentang dedikasi, pengorbanan, kegigihan, keberanian dan kecekalan dalam mengejar impian demi untuk berbakti semula kepada masyarakat. Beliau adalah inspirasi sejati bagi wanita-wanita yang bercita-cita tinggi dan bersemangat untuk membuat perubahan positif dalam hidup mereka dan masyarakat. Dengan setiap langkah yang diambil, Dr. Zety menunjukkan bahawa wanita mampu mencipta kejayaan yang luar biasa tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Semoga Dr. Zety Roses menjadi inspirasi kepada semua wanita untuk terus berusaha mencapai impian mereka, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Kejayaan beliau adalah bukti bahawa tiada yang mustahil bagi seorang wanita yang berani bermimpi dan berusaha keras untuk merealisasikannya. Jika diberi peluang memenangi Anugerah Wanita Ikon Negeri & Malaysia 2024/25 Dr Zety ingin memberikan lebih banyak inspirasi kepada wanita Malaysia agar lebih bersemangat dalam mengejar cita-cita dan mengatasi cabaran. Melalui pengalaman dan pencapaian luar biasanya dalam bidang keusahawanan dan sosial, Dr. Zety berharap dapat menjadi contoh teladan bagi wanita lain, terutama generasi muda, untuk memperjuangkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka sendiri.
DENGAN KERJASAMA